Friday, May 18, 2012

Nota Nasihat Daripada Adik-Adik Usrah

Semalam ialah hari yang menenangkan bagi saya apabila Blackberry saya menerima nota-nota nasihat daripada adik-adik usrah kesayangan saya.

Sesuai dengan satu hadith yang diriwayatkan Muslim berkaitan hak muslim ke atas saudaranya yang lain :

Hak muslim atas muslim yang lainnya ada enam.
Para sahabat bertanya: “Apakah wahai Rasulullah?.
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ucapkanlah salam jika berjumpa dengannya,”
“Jika ia mengundang kamu, maka penuhilah undangannya,”
“Jika dia meminta nasihat, maka berilah nasihat,”
“Jika dia bersin dan memuji Allah, maka ucapkanlah tasymit (Yarhamukumullah),”
“Jika ia sakit, maka ziarahilah dia,”
“Jika dia meninggal dunia, maka iringilah jenazahnya,” 

Kepingan Nota Yang Membahagiakan

Lalu saya sertakan disini nota-nota nasihat yang sungguh membahagiakan dan menenangkan. Walalupun sebahagiannya adalah potongan kata-kata para sahabat atau ulama’, namun saya yakin setiap pemberian nota-nota ini pasti dari sanubari hati yang penuh tulus dan ikhlas.
"Suatu hari Umar Bin Khattab r.a. berkata kepada sebahagian sahabatnya ;- Aku berwasiat kepadamu enam perkara :1) Jika engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau mahu mencacinya, maka cacilah dirimu. Kerana, celamu lebih banyak darinya.2) Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah dahulu perutmu. Kerana, tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.3) Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah ALLAH s.w.t.! Kerana, tiada seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih santun lembut kepadamu selain DIA.4) Jika engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia. Sebab, andaikata engkau meninggalkannya, bererti engkau terpuji.5) Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati. Kerana, jika engkau tidak bersiap untuk mati, engkau akan menderita, rugi penuh penyesalan.6) Bilamana engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah Akhirat. Kerana, engkau tak akan memperolehnya kecuali dengan mencarinya.” 
"Apabila kamu terlanjur melakukan sesuatu dosa , maka janganlah kamu jadikan ia sebagai sebab kamu patah hati daripada beristiqamah bersama Tuhanmu , kerana kadang kala ia merupakan dosa terkahir yang ditakdirkan ke atas kamu ” - (Ibn Athaillah)
“Allah SWT tidak akan menguji hambaNya, melainkan hambaNya itu mampu menghadapinya. Bersabarlah atas segala ujianNya. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang bersabar..”
“Sollu  ‘ala nabi”
Tidak kurang dicelah-celah nasihat yang saya perolehi, saya juga dinasihatkan untuk cepat-cepat berkahwin. Macam-macam adik usrah saya ini, tetapi yang pastinya saya sangat menghargai setiap nota nasihat yang saya perolehi.

Saya punyai ramai adik-adik usrah. Sungguh, saya sangat sayangkan mereka. Dan sayang saya kepada mereka pasti adalah kerana Allah S.W.T.

Terima kasih buat adik-adik usrahku.


Sunday, May 6, 2012

Saya Mendapat Keluarga Baru..


Setelah hampir 2 bulan bertungkus lumus, akhirnya Festival Isnpirasi Islam 2011 anjuran Ikatan Studi Islam UKM dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Univeriti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) melabuhkan tirainya. Bekerja menguruskan festival ini di kala sesi kuliah sepanjang 2 bulan ini lain tekanannya dengan bekerja di kala cuti dari sesi kuliah walaupun hanya seminggu. Fokus dapat diberikan jauh lebih baik. Namun, saya masih menyedari tuntutan sebagai seorang pelajar tetap tidak boleh diabaikan. Siapa suruh buat festival dikala waktu kuliah, padan muka saya!

Apapun, saya masih bersyukur kerana diberi peluang untuk mengetuai pasukan terbaik dalam menggerakkan FII ’12 ini. Dengan berinspirasikan FII ’12 ini mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap Islam khususnya  ISIUKM, kita tampil dengan wajah berbeza dengan membawa konsep Y-Avenue untuk meraikan anak muda sekarang yang lebih gemar dengan trend mereka yang tersendiri. Saya juga turut rasa bertuah apabila dalam FII ’12 ini juga kami berkesempatan untuk meneruskan tradisi ISIUKM dengan penganjuran Konsert Malam Apresiasi Seni (MANIS) kali ke-6 setelah penganjurannya yang terakhir di zaman kepimpinan Ustaz Mohd Idris pada tahun 2008.

Ramai artis seperti kumpulan nasyid UNIC dan Mestica menyatakan rasa keseronokan sekali lagi berada di UKM di atas pentas Konsert MANIS setelah sudah lama tidak diadakan. Ibarat mengenangkan nostalgia silam mereka tampil dengan persembahan yang penuh bertenaga malam tersebut.

Bezanya kami sekali lagi membawa nafas baru ke dalam roh konsert ini apabila kami tidak lagi hanya membawa konsep kesenian Islam tetapi  kepelbagaian seni dan budaya yang kita terapkan  sebagai satu langkah baru dalam ISIUKM meraikan kepelbagaian budaya dan agama dalam Negara kita khususnya di UKM. Chinese non-Muslim turut membuat persembahan Wushu yang menakjubkan selain dari persembahan instrumental piano dan Magic Show sebagai sedikit humor di dalam konsert. Terima kasih kepada Timb Naib Cancelor HEPA UKM yang sudi memeriahkan konsert kami dengan kehadiranya sebagai tetamu VIP.
TNC HEPA memberi ucapan ketika Konsert MANIS IV
FII ’12 Hilang Roh Islamnya

Ada beberapa keluhan yang saya dengar, mungkin datangnya dari ahli-ahli ISIUKM sendiri, mahupun mungkin alumni-alumni kami yang prihatin terhadap perkembangan ISIUKM berkaitan konsep yang diketengahkan dalam FII ’12 kali ini dilihat tidak terlalu berunsurkan agenda Islamik tetapi lebih terbuka seolah menghilangkan identiti ISIUKM sebagai sebuah Persatuan Islam induk di UKM.

Saya ingin jelaskan bahawa ini hanyalah salah satu program dan aktiviti dari banyak lagi kepelbagaian program yang akan kita tonjolkan. Sudah pasti dalam festival kali ini kita ingin menonjolkan satu persepsi bahawa mahasiswa Islam turut boleh merapati golongan anak muda yang mempunyai citarasa pelbagai disamping kita tidak pernah menggugurkan prinsip kita sebagai seorang da’I untuk menonjokkan syiar Islam disebalik setiap aktiviti yang kita jalankan. Sekurangnya masyarakat dapat membuka mata bahawa persatuan Islam juga tiada masalah untuk melaksanakan program selari dengan tuntutan minat anak muda sekarang.

Kalau ditanya tentang bedah buku, pertandingan nasyid, tilawah al-Quran dan agenda Islamis yang lain, jangan dirisaukan kerana kami masih ada 1 tahun tenure kepimpinan untuk kami tonjolkan syiar Islam dan dakwah Islamiyah dari dimensi yang pelbagai.

Berakhirnya Sebuah Kisah

Puas.

Itulah perasaan saya sebaik sahaja Majlis Perasmian Penutupan FII ’12 pagi Jumaat yang lepas. Saya tahu semenjak saya berhempas-pulas untuk menjayakan FII ’12 ini, saya mula mendapat ahli keluarga yang baru. Ya, Keluarga FII ’12. Sangat membahagiakan. Mereka sangat menceriakan dan sentiasa bersama dalam susah senang, jatuh bangun sepanjang menjayakan festival ini.

Sebahagian Besar Keluarga FII '12

Saya begitu terhutang budi dengan mereka di atas kesungguhan dan komitmen yang mereka tonjolkan. Sanggup bersekang mata sehingga ke Subuh, kemudian seharian ke hulu ke hilir di Pusanika mahupun Panggung Seni dan Masjid untuk menjayakan program dan mencari mad’u, mereka tidak pernah merungut bahkan mereka sentiasa menjadi golongan yang menawarkan diri untuk membantu. Mereka tak pernah kenal erti lelah. Ini belum lagi saya bongkarkan satu persatu kisah suka duka unit program, publisiti, gerai, pemasaran dan unit-unit lain dalam menjayakan tugas meraka. Meraka sungguh kuat.

Allahurabbi.

Hanya Allah yang boleh membalas jasa mereka. Mereka tidak pernah berkira dalam melaksanakan kerja-kerja Islam ini. Ya Allah, mudahan Engkau juga tidak berkira dalam mengurniakan rahmat dan kasih sayangMu kepada mereka. Berikanlah kejayaan dan kebahagiaan kepada mereka dunia dan akhirat kerana mereka adalah adik beradikku yang telah bersusah payah dalam menjayakan agenda ummah ini.

Hari ini saya mendapat keluarga baru. Keluarga yang cintakan agenda dakwah untuk Ummah. Itulah mereka. Nyata saya sangat bahagia selama bergerak kerja bersama mereka.

Semoga ukhwah kita lestari selamanya.


Friday, January 20, 2012

Baiah Kek Coklat..

Selesai peperiksaan akhir semalam, saya mengambil ruang berkongsi-kongsi pandangan dan pelbagai cerita bersama teman-teman. Kami semua berceloteh panjang. Masing-masing punyai cita-cita yang besar dan impian yang tinggi melangit untuk ummah. Seronok melihat teman-teman saya dalam melontarkan idea pandang dan konsisten mereka dalam perbincangan. Semuanya kerana jiwa mereka yang cintakan perjuangan.

Kami juga bermuhasabah. Membuang karat-karat lama untuk dibersihkan. Akhlak diperkasa, ilmu dibina. Niat disegarkan kembali. Azam dipasang untuk tekad, siap untuk berpencak.

Lagi manis apabila kami sama-sama mengikat janji. Mematri janji nyata untuk bersama. Usah difikir di mana kita walau tercampak jauh merata. Jatuh bangun kita pasti tetap bersama, terus membina ummah harapan untuk semua.

Kami membaca masa hadapan, begitu banyak yang perlu ditempuhi. Lain cabarannya, lain ujiannya daripada masa sekarang. Namun atas harapan melihat gerakan terus kehadapan, kami tidak gentar untuk melakukan perubahan.

Ya, saya berpegang dengan baiah itu. Pasti sekali memberikan inspirasi buat saya dan teman-teman. Saya namakan ia Baiah Kek Coklat kerana terkejut dengan kek coklat yang dihidangkan selepas itu. Manis. Semanis ukhwah yang dilestari. Semanis aspartame.

Baiah Kek Coklat
Jangan disekat impian kami kerana makin disekat makin laju kami mara. Makin diuji makin kuat kami bersama.

Ayuh teruskan perjuangan teman-teman..!


 M.A.H.A.S.A.R.I

Friday, January 13, 2012

Ini Bukan Tarbiyah Kita..

Beberapa hari yang lepas, masuk satu emel ke dalam inbox Gmail saya dari seorang sahabat. Penuh dengan luahan kebimbangannya terhadap situasi yang menimpa ahli gerakan pada hari ini. Solusi dan respon dipinta. Saya pula terkelu. Senyap tanpa jawapan balas. Saya mengerti kebimbangannya.

Hari ini menerima jemputan sebuah kampus untuk bersama mengimarahkan qiamullail yang di adakan. Jumlah muslimin yang berjemaah 4 orang termasuk imam. Muslimat dalam lingkungan 12 orang barangkali.

‘Mungkin fatrah exam,’ Detik hati saya.

Tapi menurut maklumat dari seorang sahabat, 'Paling ramai pun 15 orang di kalangan muslimin dan 20 orang dikalangan muslimat, sepanjang setiap minggu qiamullail di adakan. Itu paling ramai,'

‘Mereka qiam di kolej barangkali, Nabi pesan hidupkan solat di rumah-rumah kamu, jangan jadikannya seperti kubur, mungkin hadis ini yang dipegang, bimbang kolej dan rumah menjadi kubur’ Hati saya berkata mungkin.

Mungkin juga mesej jemputan diterima setiap minggu sehingga lali dan dilihat biasa. Kita kan suka perkara yang luar biasa. Benda yang grand

Teringat pesan naqib saya, Ustaz Idris ketika berusrah dengannya di PitStop.

‘Sejauh mana pun kalau kita nak memacu gerakan kita, ada 3 perkara yang kita tak boleh lari. Fikrah, Tarbiyah dan Ukhwah,’ Saya bermuhasabah.

Masih terngiang-ngiang kisah bagaimana teman-teman PKS di Indonesia menjaga amal tarbawi mereka. Seorang ahli parlimen PKS yang tidak berusrah selama sebulan akan digantung keahlian. Dasyat tarbiyah mereka.

Amal-amal tarbawi dilihat besar dari pandang sisi mereka walaupun mereka sudah jauh ke hadapan dalam memacu gerakan. Dan kita, masih di dalam paradigma kita yang tersendiri. Tasawwur tarbiyah begitu sempit sekali. Bila disebut tarbiyah, pasti amalan ruhiyyah sepeti qiamullail, ceramah, usrah, dan tamrin yang tergambar.

Sudahlah sempit, itupun bermusim. Amalan-amalan ruhiyyah yang disebut hanya akan dipraktiskan dengan jayanya di program-program tarbiyah tapi gagal di alam realiti. Kemudian muncul pula di dalam Pilihan Raya Kampus. Ahli diseru untuk banyakkan zikir, bangun malam, banyakkan munajat untuk peroleh kemenangan. Setelah selesai, Cahaya ruhiyyah malap kembali.

Mungkin mengharap rahmat dan berkat Allah untuk turun, namun kita menghampiriNya pun mengikut syarat dan musim.

Aduh, rahmat dan berkat apa yang kita nantikan sebenarnya kalau begini?

Saya hanya bimbangkan survival ahli gerakan di masa akan datang kalau terus begini caranya kita sekarang.

Monday, January 9, 2012

Gila Facebook..

Satu malam saya tidak dapat melelapkan mata. Jam sudah menunjukkan jam 2.30 pagi. Tekak terasa sangat kering memerlukan air untuk dibasahi. Saya turun ke tingkat bawah dan melihat Afiq masih lagi belum melelapkan matanya, study. Saya hanya berlalu keluar melalui pintu rumah dan sempat saya menjenguk semula ke dalam.

‘Afiq, Seven E jom,’ Saya mempelawa Afiq.

‘Tak nak lah, nanti nta belanja ana, segan,’ Afiq membalas.

‘La kenapa pulak, ok kalau macamtu jom, ana tak belanja nta,’ Saya faham Afiq bagaimana orangnya.

‘Kalau macamtu jom,’ Afiq menyertai saya berjalan kaki membelah malam untuk ke Seven Eleven mencari air untuk membasahkan tekak. Sudah 2 malam begini dan Afiq jugalah yang menjadi temannya.

Seperti biasa kalau bersama Afiq ini, ada sahaja macam-macam cerita yang ingin berkongsi. Saya memulakan cerita.

‘Afiq, ana tak minat la kalau ana ada update terbaru kat dalam blog, lepas tu nak post kat FB untuk promote,’

‘La, kenapa pulak, nta da ada update terbaru ke selepas Cerita Exam tu?’ Tanya Afiq.

‘aah ada tapi ntah, ana jadi tak minat nak post kat FB, tak tahu kenapa. Rasa segan kot macam tak bermanfaat pun untuk nak suruh orang baca,’ jawab saya.

‘Paling kurang letak la kat blog kita-kita. Kawan-kawan kita jugak baca,’ Afiq memujuk.

‘Nanti kalau terlebih rajin update, group kita tu dipenuhi dengan promosi blog ana je,’ Kata saya sambil tergelak.

‘Nta macam nak kata kat ana je, terasa ana,’

‘Eh, tak kata kat nta pun, ana suka baca blog kawan-kawan ana,’

Saya menambah, ‘Nta tau tak ana cuba buat perbandingan antara 2 artikel ana. Satu Cerita Exam yang ana post kat FB, satu lagi Cerita Dengan Tok Guru yang ana post lepas subuh pagi tadi tapi tak post kat FB. 3 kali ganda hits pengunjung Cerita Exam lebih banyak dari Cerita Dengan Tok Guru. Cerita Exam capaian hits dia dalam 50 something, dan Cerita Dengan Tok Guru 15 something je untuk hari tu,’

Afiq hanya mendengar.  Mungkin mengiyakan.

Sesudah subuh esok saya mengambil keputusan untuk post kan entri terbaru saya di beberapa group tertentu di FB. Kebetulan selesai saya post update terbaru saya di FB, seorang sahabat saya yang baru menulis entri terbaru di blognya turut post di FB. Saya sempat membaca respon seorang kenalan saya di ruang komen di FB.

kenapa semua semua pakat nk tnjuk blog msg2 ni... hu2 ^^,

Saya hanya tersenyum dan saya dah agak. Tapi saya tahu kenapa saya post juga di FB walaupun pada asalnya saya kurang berminat.

Pengaruh Facebook

Selepas dari penelitian yang saya buat, FB adalah ruang komunikasi yang sangat canggih sekarang. Facebook bukan hanya ruang komunikasi kepada mereka yang hanya kita kenal tetapi juga kepada mereka yang tidak dikenali pun. Tidak lupa, dia adalah ruang promosi yang sangat dasyat.

Saya meneliti daripada 2 artikel yang saya pernah tulis Cerita Exam yang saya postkan di FB dan Cerita Tok Guru yang saya tidak postkan. Capaian hits bagi entri Cerita Exam mencecah 53 dan Cerita Dengan Tok Guru hanya 15 dalam masa sehari. Oleh kerana jarak antara kedua entri ini hanyalah sehari, jadi saya kira tak salah untuk saya buat perbandingan sebegini.

Kemudian selepas saya mengambil keputusan untuk poromosikan entri Cerita Dengan Tok Guru di dalam group-group terpilih, capaian hits naik secara mendadak walaupun tidak dapat mengatasi entri Cerita Exam kerana entri ini telah di ‘share’ oleh teman saya dalam ruang-ruang umum di FB.

Ini bukti perbandingannya, jumlah hits terkumpul bagi setiap artikel dalam tempoh satu minggu. Entri Cerita Exam jauh mendahului lebih 3 kali ganda hasil perkongsian di Facebook berbanding 2 entri yang lain.


Mungkin sebahagian orang melihat jumlah itu masih sedikit dan tak perlu kecoh dalam entri ini pun. Setakat 200. Tapi jumlah tersebut saya mengira sudah cukup bagi saya sebagai seorang blogger amatur dan bukan blog ini pun bukan untuk dipromosikan untuk semua orang pun.

Apapun, saya sudah melihat kesannya dan inilah pengaruh Facebook sebagai ruang terbaik untuk mempromosikan segala benda yang kita inginkan. Sebelum ini saya hanya terfikir, kalau seseorang post apa-apa artikel ataupun video di Facebook saya tidak dapat kenalpasti berapa orang sebenarnya yang akan melihatnya, tetapi dari pembuktian ini saya yakin, promosikanlah apa sahaja sekalipun pasti akan mendapat sambutan di Facebook walaupun kita tidak mengetahui jumlah views yang sebenar.

Manfaatkan Untuk Dakwah

Meneliti kepada realiti fakta ini, maka saya mengatakan bahawa ruang facebook adalah ruang yang belum ada tandingan dari laman sosial yang wujud sekarang ini. Hari ini, kalau semua muslim berperanan dalam menggerakkan facebook sebagai ruang dakwah yang baik, saya mengira pasti akan mendatangkan hasil yang lumayan pastinya.

Kalau kita berceramah, mungkin tidak ramai yang akan datang untuk mendengarnya. Kalau kita buat usrah, orang tak dapat merasai pun kemanisan sebagaimana yang kita rasa. Tapi hari ini dengan Facebook dan media-media baru ini, kita mampu untuk membuatkan mereka rasa sebagaimana kita rasa, sebagaimana apa yang kita dapat kerana media baru sentiasa dapat menyelinap masuk ke dalam setiap ruang termasuk bilik-bilik tidur mereka.

Justeru, ayuh perkasakan penguasaan media baru untuk dakwah. Ini sebagai satu ruang yang jangan dikesampingkan bagi aktivis dakwah. Cuma satu nasihat saya ialah jangan kita pula yang terpengaruh dengan facebook, twitter, blog dan sebagainya sehingga kita leka dan lupa kerja-kerja kita yang perlu untuk lebih diutamakan dan perlu diberikan tumpuan masa yang lebih.

Aktivis dakwah di kampus sekarang masih sangat kurang ilmunya. Itu lebih baik untuk diutamakan. Musahabah bersama.